Peperangan Ini

Hembusan angin malam
yang bertiup membawa segar
sesegar mawar mewangi
seenak kasturi meredah sunyi

Kesendirian diulit mimpi
suatu ceritera berlagu.....

Anak-anak yang tadinya lena
kini hingar berpekikan
kapan semboyan peperangan
berdesing di pinggiran kota
darah merah bersimbahan
tulang putih berselerakan
bauan yang meledakkan jantung
membuai diselimuti kelam

Manusia yang alpa
memangnya tidak pernah lupa
pada kebejatan hasil tangan
dan sumpah yang dituliskan
adalah sumpah azali
yang tak perlu dipersoalkan

Darah Habiel yang membasah tanah
oleh kealpaan Qabiel
untuk seorang bernama Iqlima
adalah suatu tragedi yang pertama
di mukabumi ini
yang hanya dibaca
tiada pengajaran daripadanya
oleh manusia....
kerana ternyata
nafsu itu adalah musuh utama!!
dan iblis bersama sekelian lasykarnya
mengipas menyemarak nafsu
untuk suatu kerosakan
yang menjadi mainan manusia

Kegelojohan manusia
membawa segala macam kerosakan
tentunya akan berakhir
dengan iman
dengan ilmu
dengan taqwa
dengan sabar
dengan tabah
"bahawa seratus orang yang sabar dan tabah
mampu menewas seribu musuh"

Sumpah ini yang telah terbukti
di bukit Badar
lebih seribu empat ratus tahun yang lalu
apakah kita lupa?

Sulaiman a.s pernah menjadi kuasa besar
yang kekuasaannya meliput alam hewan
dan alam yang tidak kelihatan
di dunianya yang tanpa sempadan

Ketika sang kuffar kini berlumba-lumba
memusnahkan harapan
dengan tekanan dan rintangan
perpecahan para saudara
menjadi penghalang
untuk satu keagungan
yang semestinya kita kembalikan
yang semestinya kita segarkan

Dar yang tiada sempadan
kini bukan hanya igauan
bukan hanya impian
ianya suatu cita-cita
untuk segala kesejahteraan

Nota yang datang padaku tempuh hari
tentang Band of Brothers
tentang peperangan
tentang WW2
yang ditontonkan di hej-bi-o
adalah satu peringatan
bahawa kita juga dalam peperangan
bila mana kita
diperkotak-katikkan
bila mana kita
diperlekeh dan diperlecehkan

Ramadhan al-Mubarak kembali
Ramadhan al-Mubarak berseri lagi
Ramadhan al-Mubarak mewangi lagi

Peperangan yang satu
peperangan yang mesti kita menangi
peperangan menentang nafsu
di Ramadhan al-Mubarak ini.....

Maka kikiskanlah
segala nafsu yang melekat di hati
musnahkanlah segalanya
untuk menjalani hari-hari mendatang
menyemarakkan suatu cita-cita
Dar yang tanpa sempadan.......

Peperangan ini
tidak perlu darah mengalir
membasahi bumi....
tidak perlu mempamir
tulang-tulang berselerakan....

Peperangan ini
ada di dalam minda
di dalam kalbu kita......


Hasza
Desa Pinggiran Putra
10112002, 2346pm

Comments

Popular posts from this blog

Buat Sahabat

Bila Senja Berlabuh (i)

Wajah Tua Di Kaki Langit